Thursday, December 9, 2010

Ego bawa ke alam d[~_-]b

DALAM kita memperkatakan mengenai persoalan tauhid, iaitu kepercayaan kepada Tuhan tanpa menyekutukan-Nya, kita sering terlupa pada ‘berhala’ yang mungkin bertapak dalam diri kita.

Manusia mempunyai satu sifat yang amat berbahaya yang boleh menjerumuskannya ke alam syirik, iaitu sikap bongkak atau ego.

Apabila kita berfikir mengenai penyembahan berhala dan syirik, kita hanya memikirkan mengenai penyembahan patung dan berhala yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Allah dengan jelas memperingati semua manusia yang mahu mengambil peringatan di dalam surah al-Furqan ayat 43 mengenai penyembahan ego sendiri, dengan firman-Nya yang bermaksud: “Adakah engkau melihat orang yang mengambil hawa nafsunya (keinginannya) menjadi tuhannya? Adakah engkau menjadi wakil (penjaga)untuknya?”

Sifat ego atau angkuh mampu membuatkan kita mengikuti keinginan kita sendiri walaupun ia adalah sesuatu yang tidak baik atau palsu. Sifat bongkak, sombong atau ego adalah suatu sifat yang sangat berbahaya pada diri sendiri dan juga kepada orang di sekeliling kita.

Seseorang yang menentukan cara hidup atau pemikirannya berpandukan egonya hanya akan melakukan perkara yang diingininya tanpa melihat kepada kemunasabahan tindakannya.

Makhluk yang bongkak akan berasakan dirinya sebagai teristimewa berbanding makhluk lain.

Seorang Muslim tidak akan lupa bahawa iblis dilaknati Allah hanya semata-mata kerana sifat bongkaknya seperti mana yang diajar Allah dalam surah al-A’raf ayat 12 hingga 13 yang bermaksud: “Apakah yang melarang engkau tidak mahu tunduk ketika Aku menyuruhmu? Sahut iblis: Aku terlebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan dia daripada tanah.”

Allah berfirman lagi: “Turunlah engkau dari syurga; tidak pantas engkau berlaku sombong dalam syurga, maka keluarlah, sesungguhnya tetap engkau termasuk orang yang hina.”

Sifat bongkak iblis telah menggelincirkannya daripada menuruti perintah Allah, yakni menyembah Allah. Apabila diperintah untuk sujud kepada Adam, ia enggan. Iblis mengambil keinginannya sendiri sebagai tuhan dan ini saja telah menyesatkannya.

Begitu juga seorang pemimpin politik atau ulama agama yang sombong akan mencetuskan dakyah kekecohan di kalangan rakyat semata-mata untuk mengekalkan kedudukan dan kuasa mereka.

Ini adalah kerana mereka berada di kedudukan di mana mereka berkeupayaan untuk mempengaruhi pendapat umum. Kesombongan mereka juga mungkin terhasil daripada keinginan untuk mengekalkan pandangan mereka saja sama ada secara individu atau berkumpulan.

Begitu juga seorang ulama agama yang sombong akan menutup minda dan hatinya terhadap ilmu atau tafsiran ad-din yang tidak terdaya difikirkan olehnya.

Kesempitan atau kelemahan daya pemikirannya disalah anggap sebagai keterbatasan ilmu Allah walhal ilmu Allah tidak terbatas. Di dalam bahasa konservatif, ia disebut sebagai sikap jumud.

Seorang pengurus atau majikan yang sombong akan menindas pekerjanya. Seorang manusia yang sombong tidak akan dapat memahami kesusahan yang dialami orang lain yang kurang bernasib baik daripadanya.

Apabila ego dan keinginan sendiri berkuasa, ayat-ayat Allah tidak dapat bertapak di hati mereka. Syaitan bersarang di dalam hati dan akan nampak sebagai indah amalan jahat mereka seperti firman Allah di dalam surah Muhammad ayat 14 yang bermaksud: “Adakah orang yang di atas keterangan dari Tuhannya, sama dengan orang yang diperhiaskan kepadanya amalannya yang jahat, dan mereka mengikut hawa nafsunya (keinginannya)?”

Manusia amat suka melihat kepada perkara luaran dan melupakan kudis yang ada pada diri sendiri. Kecacatan dan dosa sendiri adalah rahsia yang diketahui oleh diri sendiri dan Tuhan.

Inilah antara sebabnya syaitan membuat manusia sibuk dengan label. Upacara dan simbol supaya hati manusia boleh dilekakan untuk sujud kepada Allah semesta alam.

Walaupun symbol-simbol mempunyai fungsinya, namun tanpa symbol luaran, setiap insan terpaksa menepuk dada sendiri dan bertanya: “Pada hakikatnya adakah hati aku reda kepada Allah?”

Sekiranya hati kita benar-benar sujud kepada Allah, kita akan belajar mengawal keinginan kita supaya mempermudahkan kemasukan ilmu yang sebenar ke dalam jiwa kita.

Amat mustahil bagi orang yang menyembah keinginan atau egonya mampu berfikir secara rasional atau memahami pandangan orang lain berdasarkan penilaian terpenci atau pengetahuan.

Manusia yang mampu mempertimbangkan kedudukan dan pandangan orang lain dengan mengetepikan keinginannya, adalah manusia yang bersikap ihsan serta merendah diri.

Sebaliknya. Sikap mahu menuruti keinginannya saja menjadikannya pekak, buta dan hatinya tertutup.

Allah berfirman di dalam surah Al-Jatsiyah ayat 23 yang bermaksud: “Adakah engkau melihat orang yang mengambil hawa nafsunya untuk menjadi tuhannya dan Allah menyesatkannya kerana mengetahui (kejahatan hatinya)dan menutup pendengaran, dan mata hatinya, dan mengadakan tutupan di atas pemandangannya? Maka siapakah yang akan memberi petunjuk kepadanya selepas Allah? Tidakkah kamu menerima peringatan?”

Sebaliknya, orang yang menyembah Allah semata-mata tidak akan takut berhadapan dengan perbincangan yang bertujuan untuk mencari kebenaran.

Sikap perjudis, degil, agenda tersembunyi dan keinginan untuk ‘menang’ akan terkikis dan diganti dengan sikap ‘samikna waatkna’ (kami dengar dan kami patuh).

Mereka ini berani menggunakan minda secara objektif dengan hati yang ikhlas diiringi doa semoga diberi petunjuk oleh Allah. Orang seperti ini mempunyai sikap ingin tahu dan ingin belajar dan tidak takut untuk diperbetulkan sekiranya fahaman mereka atau tindakan mereka tersalah.

Manusia seperti ini juga tidak perlu berpaut pada hujah majority kerana mereka yakin benar bahawa kebenaran akan dilindungi oleh Allah sendiri. Perkara yang penting ialah kebenaran dan bukan isu ‘jaga muka’.

Sekiranya kita menceraikan diri kita daripada symbol-simbol seketika, kita akan terpaksa menilai diri sendiri berdasarkan perbuatan harian kita dan cara kita hidup setiap saat di atas muka bumi.

Cara kita bergaul dan mengendalikan diri dalam setiap situasi yang ditetapkan oleh Allah akan memberi makna terhadap sama ada kita menyembah Allah atau ego sendiri.

Ad-din Allah bukan setakat penyempurnaan upacara saja atau pakaian seragam yang kita anggap ‘warak’ tetapi ia adalah cara hidup yang lengkap dan praktikal untuk menangani cabaran dan ujian hidup.

Janganlah kita terpedaya bahawa symbol yang menyelubungi diri kita sudah menandakan kita seorang yang menyembah Tuhan dengan sepenuh hati. Perlakuan dan reaksi kita kepada cabaran hidup setiap saatlah yang akan menentukan sama ada kita beriman atau tidak.

Allah berfirman di dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud: “Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja berkata, ‘Kami telah bermain, tanpa mereka mendapat cubaan’?”

Kita biasa dengar ungkapan ‘bodoh sombong’ yang diertikan sebagai sikap orang yang tidak tahu sesuatu tetapi keangkuhannya menahannya daripada mempelajari sesuatu.

Anehnya sikap bodoh sombong ini adalah suatu virus yang dengan begitu mudah menyingkap minda golongan terpelajar. Di dalam masyarakat yang sedang membangun, terutamanya semua graduan daripada institusi pengajian tinggi dipandang oleh masyarakat sebagai golongan ‘terpelajar’ dan ‘berilmu’.

Tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang memperolehi pendidikan di institusi pengajian tinggi didedahkan dengan maklumat tertentu dan berpeluang meneroka sesuatu ilmu secara mendalam.

Namun hakikatnya ialah peluang untuk meneroka itu tidak semestinya digunakan oleh setiap mahasiswa dan seorang mahasiswa boleh memperoleh ijazah dengan menghafal atau mempelajari maklumat yang perlu saja untuk lulus peperiksaan.

Namun, mahasiswa ‘cukup makan’ ini pun dianggap sebagai golongan ‘terdidik’ semata-mata kerana mempunyai ijazah walaupun tempoh empat atau lima tahun di pusat pengajian berkenaan tidak pernah melatih dirinya untuk berfikir secara kritis selain menghafal apa yang diajar.

Ini adalah kerana graduan yang hanya mengumpulkan maklumat untuk memperoleh ijazah menganggap dirinya sudah ‘intelektual’ dengan perolehan ijazah. Begitu juga graduan yang lulus dengan pelbagai ijazah pengajian Islam dianggap mahir dalam bidang berkenaan dan lebih menakutkan lagi, dianggap sebagai orang yang beriman.

Maka dirinya sendiri serta masyarakat terpadaya dengan ijazahnya. Malangnya, kerana pelbagai sebab dan faktor, graduan ini ditempatkan di sektor-sektor penting serta diberi kedudukan yang dapat mempengaruhi kehidupan orang lain.

Lama-kelamaan mereka menjadi pembentuk dasar, pembentuk pendapat awam, perlaksanaan dasar dan sebagainya. Mereka yang angkuh atau bodoh sombong di kalangan mereka inilah yang akan menyulitkan kehidupan orang awam kerana mereka tidak akan mempertimbangkan teguran dan kritikan ikhlas atau membina daripada orang lain.

Kita boleh mengambil iktibar daripada surah al-Qasas ayat 50 yang bermaksud: “Kalau mereka tidak memperkenankan (permintaanmu) itu, maka ketahuilah bahawa mereka semata-mata menurut hawa nafsu saja. Siapakah yang terlebih sesat dari orang yang mengikut hawa nafsunya tanpa petunjuk daripada Allah? Sesungguhnya Allah tidak memnberi petunjuk kepada kaum yang aniaya.”

Memandangkan sikap angkuh dan sombong ini boleh menjerumuskan diri kita ke lembah kezaliman, hendaklah kita sentiasa melakukan muhasabah diri berpandukan ajaran Allah di dalam al-Quran.

Ini adalah cara yang terjamin untuk diri kita diperingati setiap masa bahawa kehadiran dan kesejahteraan kita di muka bumi ini adalah bergantung sepenuhnya kepada rahmat Allah.

Mudah-mudahan melalui cara ini, kita mengatur hidup kita dengan sujud kepada kehendak Allah daripada meletakkan diri kita di tempat yang suci ekoran keangkuhan kita. Hanya Allah yang menyucikan siapa yang ia kehendaki...

No comments:

Post a Comment