Wednesday, December 8, 2010

Hak Seorang Ibu

Islam menghormati ibu dan menempatkannya ditaraf yang tinggi. Ibu
wajib ditaati selagi tidak bertentangan dengan Islam. Mereka wajib
dihormati dan dikasihi, malahan al-Quran menganjurkan kita agar
sentiasa mendoakan mereka dan agar Allah mengampunkan dosa
mereka.

Keredhaan Allah tertakluk kepada keredhaan mereka dan kemurkaan Allah adalah tertakluk kepada kemarahan mereka. Diantara hak ibu terhadap anaknya ialah:

  1. Ibu berhak mendapat layanan baik, kasih sayang, timbang rasa, hormat dan ketaatan daripada anaknya. Ibu berhak mewarisi harta anak-anaknya. Malahan jika ibu membunuh anaknya sekali pun, mereka tidak dikenakan qisas walaupun mereka dikenakan ta’zir dan perbuatannya berdosa. Jika ibu mencuri harta anaknya mereka tidak dipotong tangannya kerana menghormatinya sebagai ibu. Tetapi ini tidaklah bermakna perbuatannya itu dihalalkan dan digalakkan oleh Islam. Kedua-dua contoh ini hanyalah untuk menunjukkan betapa tingginya kedudukan ibu menurut pandangan Islam.

  1. Ibu mempunyai hak terhadap anaknya dari segi memberi nafkah, pakaian, tempat tinggal dan perubatan. Seseorang ibu yang suaminya sudah tidak berdaya atau telah mati, tidak meninggalkan harta atau tidak mempunyai harta, menjadi kewajiban dan tanggungjawab anaknya untuk memberi nafkah, tempat tinggal, pakaian dan perubatan yang wajar. Ibu tidak boleh dibiarkan hidup melarat.

  1. Adalah menjadi kewajiban anak lelaki atau perempuan untuk menghayati adab yang mulia terhadap ibu bapa mereka. Diantara adab itu ialah taat dan patuh kepada perintah mereka, mendengar dan menerima nasihat mereka, berdiri ketika mereka berdiri kerana hormat, jangan berjalan dihadapan mereka, jangan meninggikan suara kepada mereka, jangan menjawab panggilan mereka kecuali dengan sopan, jangan mengungkit-ungkit segala kebaikan yang diberikan kepada mereka dan jangan merenung mereka dengan renungan menghina, jangan belayar tanpa izin mereka melainkan jika pelayaran itu untuk menunaikan kewajiban agama. 

 

No comments:

Post a Comment